PFIZER IRELAND PHARMACEUTICALS v. RANBAXY (MALAYSIA) SDN BHD
COURT OF APPEAL, PUTRAJAYA
ABDUL MALIK ISHAK JCA, MOHAMED APANDI ALI JCA, BALIA YUSOF WAHI JCA
[CIVIL APPEAL NO: W-02(IM)-2580-10/2011]
11 JANUARY 2013
Plaintif adalah syarikat yang berkaitan dengan Ranbaxy Laboratories Limited, sebuah syarikat farmaseutikal. Defendan dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd adalah syarikat-syarikat berkaitan dengan Pfizer Inc, yang dikenali sebagai syarikat berasaskan penyelidikan farmaseutikal terbesar di dunia. Viagra, dadah preskripsi untuk merawati penyakit mati pucuk, adalah ubat oral mencegah mati pucuk yang ditemui, dibangunkan dan dipasarkan oleh defendan. Defendan telah melabur masa dan wang melakukan penyelidikan yang membawa kepada penemuan sildenafil, satu bahan aktif Viagra. Viagra dilindungi oleh beberapa paten, salah satunya adalah Paten Malaysia no; MY-111446-A bertajuk "Pyrazolopyrimidinones bagi rawatan mati pucuk" ("Paten 446") yang telah didaftarkan di dalam nama defendan. Plaintif juga telah memperkenalkan satu dadah generik yang dipanggil Caverta yang mengandungi sildenafil citrate yang mempunyai kompaun yang sama seperti Viagra. Untuk mencapai tujuan mengeluarkan dan mengedarkan Caverta di Malaysia, plaintif memulakan prosiding undang-undang terhadap defendan di bawah ss. 56 dan 57 Akta Paten 1983 dan berusaha untuk mengisytiharkan Paten 446 sebagai tidak sah dan terbatal di Malaysia. Dalam pembelaan dan tuntutan balas, defendan merujuk kepada, antara lain, Paten US defendan US6,469,012, bertajuk "Pyrazolopyrimidinones bagi rawatan mati pucuk" ("Paten US US6,469,012"). Di dalam satu guaman yang lain di antara Pfizer Inc Group of Companies ("Pfizer") dan Teva Pharmaceuticals USA Inc ("Teva") bagi pelanggaran Paten US US6,469,012. Mahkamah Daerah US, Mahkamah Daerah Timur Virginia, telah memberi keputusannya dan telah mengesahkan kesahihan Paten US US6,469,012 dan telah memasukkan penghakiman bagi Pfizer atas pelanggaran paten. Hasil daripada keputusan Mahkamah Daerah US tersebut, defendan bertujuan untuk meminda Paten 446 untuk mematuhi Paten US US6,469,012. Defendan memfailkan saman dalam kamar di dalam Mahkamah Tinggi di lampiran 11 di bawah A. 20 k. 8 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (`KMT') dan s. 56 Akta Paten 1983 dan/atau kuasa sedia ada Mahkamah Tinggi dan memohon pindaan Paten 446. Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan pindaan di dalam lampiran 11. Oleh itu, rayuan ini.
Diputuskan (menolak rayuan defendan)
Oleh Abdul Malik Ishak HMR menyampaikan penghakiman mahkamah:
(1) Kuasa mahkamah untuk membuat perintah pindaan di bawah A. 20 k. 8 KMT hanya terhad kepada dokumen-dokumen mahkamah dan pliding-pliding. Oleh itu, ia tidak terbuka kepada mahkamah untuk membenarkan pindaan kepada bukan dokumen mahkamah seperti Paten 446. Paten 446 bukan dokumen mahkamah atau pliding, oleh itu Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa di bawah A. 20 k. 8 KMT untuk membuat apa-apa perintah pindaan ke atas Paten 446 yang telah diperiksa dan diberi oleh Pejabat Harta Intelektual Malaysia.
(2) Mahkamah bukan forum untuk meminda Paten 446, mengambil kira paten adalah penciptaan statut khusus, iaitu Akta Paten 1983, dan semua perkara yang berkaitan dengan prosedur pindaan paten yang telah diberikan adalah ditakluk oleh Akta Paten 1983. Seterusnya, menurut s. 79A(3) Akta Paten 1983, Pendaftar Paten tidak akan membuat pindaan kepada paten jika, terdapat di hadapan mana-mana mahkamah, prosiding-prosiding di mana kesahihan paten mungkin digunakan.
(3) Apa-apa pindaan boleh dibenarkan jika "ia tidak menjejaskan atau memprejudiskan" kepentingan terletakhak plaintif di sini. Permohonan defendan untuk meminda Paten 446 pasti akan memprejudiskan kes plaintif apabila kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Ia pasti akan menafikan plaintif peluang pembelaan bagi pembatalan Paten 446 di bawah s. 56 Akta Paten 1983 atas alasan-alasan kekurangan kebaharuan, kekurangan langkah-langkah insentif dan apa-apa kekurangan lain. Pindaan yang dicadangkan pada Paten 446 pastinya memprejudiskan plaintif. Ia mempunyai kesan mengubah sifat guaman kesahihan yang masih belum selesai di hadapan Mahkamah Tinggi. Ini adalah ketidakadilan yang akan dialami plaintif yang tidak mungkin boleh diberi ganti rugi dengan kos sebab akibatnya penyata tuntutan dan butir-butir bantahan perlu diubah secara mendadak.
(4) Mahkamah Tinggi apabila tidak membenarkan pindaan pada lampiran 11 telah menggunapakai dengan betul undang-undang kepada fakta-fakta dan telah memberi sebab-sebab yang meyakinkan untuk tidak membenarkan permohonan itu. Mahkamah Tinggi telah dengan betul menilai fakta-fakta dan memutuskan bahawa hak atau kepentingan defendan tidak akan diprejudiskan sebab defendan masih mempunyai hak untuk menyangkal tuntutan plaintif semasa perbicaraan betul. Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi disahkan.
SUMBER RUJUKAN LINK CLJ