SYARIKAT pengeluar tudung, Fareeda Global Resources Sdn Bhd (Fareeda) berkata, pihaknya menyedari aktiviti peniruan rekaan tudungnya sejak 2010 pada skala kecil dan semakin menjadi-jadi pada 2012 dan 2013.

Penasihat merangkap Perunding Hak Harta Intelek Fareeda, Norunnuha Nawawi berkata, antara aktiviti peniru ialah meniru rekaan tudung selain mengelirukan pembeli dengan menggunakan gambar-gambar model Fareeda tetapi menjual tudung tiruan.

Peniru juga merujuk kepada tudung tiruan mereka dengan nama-nama rekaan Fareeda.

“Rekaan Fareeda Aisya dibuka untuk jualan pada pertengahan September 2013, dan dalam tempoh tidak sampai seminggu pihak peniru telah membuat iklan menawarkan rekaan yang sama dengan Fareeda Aisya.

“Pada awal Januari, pihak Fareeda mengeluarkan notis umum memaklumkan hak-hak rekaan Fareeda dan memaklumkan tindakan bakal diambil ke atas peniru jika didapati melanggar hak-hak harta intelek Fareeda dan disusuli dengan sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia,” katanya.

Norunnuha berkata, peniru masih meneruskan aktiviti mereka dan tiada yang tampil untuk meminta keizinan atau membuat permohonan maaf kepada syarikat itu.

Malah katanya, peniru itu juga memburuk-burukkan Fareeda.

Menurutnya, Fareeda dalam proses menjejak pengeluar tudung tiruan dan meminta penjual kecil menolak untuk menerima dan menjual tudung-tudung tiruan. 

“Fareeda sentiasa mendapatkan khidmat nasihat dan bekerjasama dengan bahagian penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO). Selain itu, pihak Fareeda juga merasakan
penting agar kesedaran dan penghargaan hak harta intelek dipertingkatkan.

“Malaysia tidak akan dapat membina jenama merentasi sempadan jika tiada penghargaan hak harta intelek oleh rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam dan Melayu,” katanya.

Fareeda juga sedang melihat potensi pasaran luar negara dan membina serta mengemaskini Portfolio Hak Harta Intelek Fareeda bagi menyokong proses pengembangan tersebut.

Menurut Fareeda, usahawan perlu belajar untuk berdaya cipta dan inovatif untuk kekal dalam pasaran dan elakkan meniru rekaan dan produk yang lain.

“Usahawan juga perlu membina jenamanya sendiri tanpa menumpang di atas populariti jenama lain. Hanya dengan cara itu peredaran ekonomi dan persaingan sihat akan terbentuk," menurut syarikat itu.